
Kebiasaannya kita berniat apabila kita bersolat.Tetapi berniat bukan sahaja tatkala kita bersolat ataupun melaksanakan ibadah puasa.Hari ini, di kelas Hadith, kita masih belajar Hadith pertama, dimana setiap amalan mestilah dimulakan dengan niat. Subhanallah, sungguh cetek minda ini memikirkan niat itu semudah lafaz dalam hati sahaja. Niat itu sangat luas dan juga ada bahagiaannya. Niat dimana hukumnya yang harus, makruh mahupun mubah. Kita ummat Islam, dinasihatkan berniat sebelum melakukan apa perkara, biarpun sekecil lalat. Kenapa kita harus niat? Apakah perbezaannya antara orang yang melakukan sesuatu dengan niat dan tanpa niat?
Kita berniat sebelum melakukan segala amalan kerana Allah s.w.t ialah untuk mendapat ganjaran pahala dariNya di akhirat kelak dan juga untuk mendapatkan keredhaanNYA. Dan perbezaannya orang yang melakukan sesuatu dengan niat dan tanpa niat ialah di sisi Allah. Seperti dikongsi di kelas tadi, jikalau seseorang isteri itu niat menjahit baju kurung yang cantik untuk bergaya di hari raya kelak, insyallah si isteri akan mendapat ganjaran duniawinya. Tetapi, jikalau seseorang isteri itu berniat, "Sesungguhnya Allah menuntut sang isteri untuk menceriakan hati sang suami, dengan niat kerana untuk mendapat ganjaran dari Allah, aku menjahit baju kurung ini untuk bercantik dan bahagiakan suamiku".
Subhanallah, betapa mulianya jikalau kita dapat melakukan segala amalan ikhlas kerana Allah. Tidur, makan, pekerjaan, mencari ilmu, jikalau itu semua dilakukan ikhlas kerana Allah, insyallah kita akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah. Marilah kita renungkan sesama. Insyallah, kita bersama dapat mengejar kebahagiaan ukhrawi dengan memperbetulkan niat kita semata-mata kerana Allah.